Khamis, 2 Jun 2016 | 5:24pm
ANTARA kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 284 Lebuh Raya Utara Selatan, berhampiran persimpangan keluar Plaza Tol Nilai, awal pagi tadi. - Foto Bomba
ANTARA kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 284 Lebuh Raya Utara Selatan, berhampiran persimpangan keluar Plaza Tol Nilai, awal pagi tadi. - Foto Bomba

1 parah, 2 cedera nahas 5 kenderaan

NILAI: Seorang parah, manakala dua lagi cedera ringan dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Kilometer 284 Lebuh Raya Utara Selatan, berhampiran persimpangan keluar Plaza Tol Nilai, di sini, awal pagi tadi.

Kejadian jam 6.15 pagi membabitkan tiga lori iaitu lori tangki, lori tiga tan dan lori kontena serta sebuah kereta dan motosikal itu menyebabkan seorang kelindan lori parah akibat tersepit, manakala masing-masing pemandu kereta dan lori, cedera.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Zaldino Zaludin, berkata kejadian dipercayai berpunca apabila pemandu kereta berkenaan tiba-tiba hilang kawalan, sebelum kenderaannya terbalik di lorong tengah lebuh raya.

Pada masa sama, katanya, sebuah lori tangki dan motosikal di laluan sama, berhenti mengejut menyebabkan penunggang motosikal terbabas tetapi tidak cedera.

"Sebuah lori kontena yang datang dari lorong sama, kemudian gagal mengelak menyebabkannya merempuh lori tiga tan di hadapannya hingga terbalik ke lorong kiri jalan," katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Anuar Awang, berkata sebuah jentera bersama 10 anggota dikejarkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan pada jam 6.28 pagi.

Katanya, setiba di tempat kejadian, pihaknya mendapati seorang kelindan lori tersepit pada kedua-dua kaki, menyebabkan bomba mengambil masa kira-kira tujuh minit untuk mengeluarkan mangsa sebelum dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban, untuk rawatan lanjut.

Berita Harian X