Selasa, 14 Jun 2016 | 10:51pm

Polis terima 4 laporan khianat

 KEJADIAN kebakaran di sebuah kedai buku di Terminal 1 mengakibatkan sebuah rak menempatkan kertas pembalut hadiah dan sebahagian kad ucapan terbakar. - Foto Ihsan Bomba
KEJADIAN kebakaran di sebuah kedai buku di Terminal 1 mengakibatkan sebuah rak menempatkan kertas pembalut hadiah dan sebahagian kad ucapan terbakar. - Foto Ihsan Bomba

SEREMBAN: Empat kebakaran kecil yang berlaku di beberapa lokasi berbeza di daerah ini sejak tengah hari tadi, disahkan berunsurkan khianat.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun, berkata pihaknya menerima empat laporan berkenaan kes yang berlaku bermula jam 1.50 tengah hari sehingga jam 3.45 petang itu.

Katanya, empat lokasi kejadian itu adalah di bahagian pakaian wanita di Pasar Raya Mydin dan ruang pakaian di pusat beli belah Terminal 2, kedai buku di pusat beli belah Terminal 1 dan bahagian pakaian lelaki di Pasar Raya Giant, Senawang, dekat sini.

"Semakan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) dalam kejadian di tiga lokasi pertama mendapati, perbuatan dipercayai dilakukan oleh seorang lelaki.

"Semakan CCTV di Pasar Raya Giant Senawang pula mendapati, seorang lelaki berpakaian gelap berjalan keluar dari lorong premis sejurus sebelum kebakaran berlaku," katanya di sini, hari ini.

Mohd Zaki berkata, anggaran kerugian dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Katanya, usaha mengesan suspek sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api.

Berita Harian X