Selasa, 28 Jun 2016 | 12:43pm

Letupan pusat hiburan: Polis sahkan bom tangan

 ANGGOTA Forensik PDRM memeriksa perkarangan sebuah kelab malam selepas premis itu dibaling bom tangan pagi tadi di Puchong. - Foto Saddam Yusoff
ANGGOTA Forensik PDRM memeriksa perkarangan sebuah kelab malam selepas premis itu dibaling bom tangan pagi tadi di Puchong. - Foto Saddam Yusoff

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan bahan letupan yang dibaling di sebuah pusat hiburan hingga mencederakan lapan orang di Puchong, awal pagi tadi adalah bom tangan.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar, berkata siasatan menyeluruh sedang dilakukan pihaknya termasuk meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di premis terbabit bagi mengenal pasti suspek serta motif kejadian.

"Setakat ini, kita belum tahu apa motif bom itu dibaling. Mungkin kerana persaingan perniagaan, balas dendam... kita akan siasat dari semua sudut.

"Siasatan kes dibuat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.15 pagi itu, lapan pengunjung pusat hiburan berkenaan cedera termasuk seorang daripadanya parah selepas premis itu dibaling bom tangan ketika semua mereka sedang menonton perlawanan pusingan kalah mati 16 pasukan Euro 2016.

Mereka yang cedera terdiri empat lelaki dan empat wanita yang kini dirawat di Hospital Serdang dan pusat perubatan swasta.

Berita Harian X