Rabu, 29 Jun 2016 | 3:09pm

UMNO mohon batal saman Anina

Bekas ahli Wanita UMNO Langkawi, Anina Saaduddin.
Bekas ahli Wanita UMNO Langkawi, Anina Saaduddin.

KUALA LUMPUR: UMNO memohon untuk membatalkan saman bekas ahli Wanita UMNO Langkawi, Anina Saaduddin, yang menuntut pengisytiharan bahawa Seksyen 18C Akta Pertubuhan yang menetapkan keputusan parti politik tidak boleh dicabar di mahkamah, sebagai tidak sah.

Parti itu yang diwakili Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Ab Rauf Yusoh selaku defendan, memfailkan permohonan untuk membatalkan saman berkenaan pada 21 Jun lalu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini.

UMNO mengemukakan alasan bahawa saman difailkan Anina pada 3 Jun lalu tidak mendedahkan kausa tindakan yang munasabah terhadap parti itu.

Selain itu, UMNO berkata, saman terbabit adalah mengaibkan, remeh atau menyusahkan dan suatu penyalahgunaan proses mahkamah.

Anina selaku plaintif memfailkan saman itu dengan menamakan Kerajaan Malaysia selaku defendan pertama dan Tengku Adnan serta Ab Rauf dalam kapasiti mereka sebagai pegawai awam UMNO, selaku defendan kedua dan ketiga.

Beliau memohon Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966 diisytiharkan sebagai tidak sah dan terbatal kerana bercanggah Perkara 5 (kebebasan diri), Perkara 8 (kesamarataan di sisi undang-undang) dan Perkara 10 (1)(a) dan (c) ((kebebasan bercakap dan berpersatuan).

Lanjutan itu, plaintif memohon pengisytiharan Fasal 20.7 Perlembagaan UMNO juga adalah tidak sah dan terbatal kerana bertentangan dengan empat artikel dalam Perlembagaan.

Beliau juga memohon pengisytiharan bahawa pemecatannya daripada UMNO pada 28 Ogos tahun lalu adalah tidak sah dan terbatal.

Berita Harian X