Ahad, 3 Julai 2016 | 12:17pm

Dua wanita melecur dapur gas meletup ketika sahur

KEADAAN dapur yang meletup di Bandar Tasik Selatan menyebabkan dua orang wanita melecur. - Foto ihsan Bomba
KEADAAN dapur yang meletup di Bandar Tasik Selatan menyebabkan dua orang wanita melecur. - Foto ihsan Bomba

KUALA LUMPUR: Dua wanita melecur apabila dapur yang dipercayai digunakan untuk menyediakan juadah sahur meletup di sebuah rumah di Bandar Tasik Selatan di sini, hari ini.

Kejadian kira-kira 4 pagi, menyebabkan Aminah Adnan, 52, melecur hampir 30 peratus di muka, tangan dan kaki manakala warga Indonesia, Nawen, 36, melecur hampir 40 peratus di muka, tangan, kaki dan badan.

Pegawai Bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Besi, Matruzi Ismail, berkata kejadian itu turut menyebabkan sebahagian dapur rumah itu rosak.

Kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk mendapatkan rawatan, katanya ketika dihubungi.

Matruzi berkata, bomba menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 4.17 pagi dan tiba di lokasi kejadian enam minit kemudian bersama lima anggota dan sebuah jentera bomba. - BERNAMA

Berita Harian X