X
Khamis, 7 Julai 2016 | 3:42pm

Dua maut, tiga parah nahas empat kenderaan

KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan maut di Jalan Kilang Sawit Adela, Sungai Rengit Kota Tinggi, hari ini. - Foto ihsan bomba
KEADAAN kenderaan yang terbabit dalam kemalangan maut di Jalan Kilang Sawit Adela, Sungai Rengit Kota Tinggi, hari ini. - Foto ihsan bomba

KOTA TINGGI: Sepasang suami isteri maut, manakala tiga lagi parah dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 24.5 Jalan Sungai Rengit-Kota Tinggi di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 9.38 pagi, mangsa Abdullah [email protected], 60, dari Blok 29, FELDA Sungai Mas di sini dan isteri, Mariyatul Batang, 51, maut di tempat kejadian berikutan kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Rahmat Othman, berkata selain Toyota Vios yang dinaiki mangsa, kemalangan turut membabitkan tiga lagi kenderaan iaitu Toyota Grand Livina, Toyota Avanza dan Proton Preve.

Katanya, kemalangan berlaku apabila Toyota Grand Livina yang menghala ke Sungai Rengit masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan tiga lagi kenderaan yang menuju ke arah Kota Tinggi.

"Akibat dari kemalangan itu pemandu dan penumpang yang menaiki Toyota Vios meninggal dunia, manakala penumpang belakang kereta berkenaan termasuk pemandu Toyota Grand Livina dan Toyota Avanza cedera parah dan kini dirawat di Hospital Kota Tinggi.

"Pemandu Proton Preve tidak cedera. Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca daripada pemandu Toyota Grand Livina yang memasuki laluan bertentangan dipercayai akibat mengantuk," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Rahmat berkata, siasatan mendapati lokasi kejadian adalah jalan dua hala yang lurus dengan garisan berkembar di tengah jalan sebagai pembahagi jalan selain permukaan jalan kering dan cuaca baik pada waktu pagi.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Berita Harian X