Selasa, 12 Julai 2016 | 3:40pm
Kemalangan yang menyebabkan jururawat, Junaiza Kenton, 28, meninggal dunia di tempat kejadian akibat tercampak dari kereta di Jalan Besar FELDA Pasoh Satu dan Empat di Kuala Klawang, petang semalam.
Kemalangan yang menyebabkan jururawat, Junaiza Kenton, 28, meninggal dunia di tempat kejadian akibat tercampak dari kereta di Jalan Besar FELDA Pasoh Satu dan Empat di Kuala Klawang, petang semalam.

Jururawat maut kemalangan jalan raya

KUALA KLAWANG: Seorang jururawat Orang Asli yang dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai bertugas, maut dalam kemalangan di Jalan Besar FELDA Pasoh Satu dan Empat di sini, petang semalam.

Kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu menyebabkan Junaiza Kenton, 28, yang bekerja di Klinik Kesihatan FELDA Pasoh Satu, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Suami mangsa yang memandu kereta, Emman Adun, 28, parah pada bahagian anggota badan dan kini dirawat di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Othman Basri, berkata kereta dipandu suami mangsa yang dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Air Baning, dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke laluan bertentangan.

Katanya, kenderaan itu kemudian melanggar bahu jalan sebelum berpusing semula ke tengah jalan, menyebabkan pemandu dan mangsa tercampak keluar daripada kereta.

"Mangsa dipercayai maut selepas kepalanya terhantuk atas jalan raya. Mayat mangsa yang berasal dari Kuala Lipis, Pahang kemudian dibawa ke Hospital Jelebu untuk bedah siasat," katanya di sini, hari ini.

Othman berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X