Ahad, 17 Julai 2016 | 1:11pm

Buru ayam, tertembak rakan

KUALA KLAWANG: Seorang lelaki berusia 52 tahun ditahan polis kerana dipercayai tertembak rakannya ketika keluar memburu ayam hutan di Hutan Simpan Rangoi dekat sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superintendan Othman Basri, berkata dalam kejadian jam 3.45 petang itu, suspek yang memegang selaras senapang patah dikatakan tergelincir sebelum senjatanya meletup.

"Ketika itu, rakannya berusia 56 tahun yang berjalan kira-kira dua meter di hadapan sebelum menjerit kesakitan.

"Suspek segera memeriksa rakannya dan mendapati peluru senapang terkena punggung lelaki itu. Dia menghubungi rakan lain bagi meminta bantuan membawa mangsa ke klinik," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Othman berkata, suspek ditahan malam tadi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 37 Akta Senjata Api 1960 dan polis merampas senapang miliknya selain kelongsong peluru dan buku lesen senjata.

Berita Harian X