Isnin, 25 Julai 2016 | 5:28pm

Mayat tanpa tangan dan kaki ditemui

LOKASI mangsa dipercayai dibaham buaya di Sungai Tenegang, dekat Kinabatangan.
LOKASI mangsa dipercayai dibaham buaya di Sungai Tenegang, dekat Kinabatangan.

KINABATANGAN: Mayat tanpa tangan dan kaki dipercayai mangsa yang hilang dibaham buaya di Sungai Tenegang, dekat sini, ditemui pagi tadi.

Mayat terbabit ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat kira-kira jam 11.15 pagi.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan A Sahak Rahmat, berkata keluarga mangsa yang hilang, Mohd Asis Tahir, 34, sudah dipanggil untuk membuat pengecaman dan mengesahkan mayat terbabit adalah mangsa.

"Mayat mangsa ditemui sejam selepas operasi mencari dan menyelamat dilancarkan jam 10 pagi tadi dan sudah dihantar ke Hospital Kinabatangan untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Mangsa dilaporkan hilang di Sungai Tenagang, kira-kira 50 kilometer dari sini, ketika turun ke sungai untuk memukat ikan bersama seorang lagi rakannya dalam kejadian jam 3.45 petang, Sabtu lalu.

Dalam kejadian itu, rakan mangsa yang berada di tebing sungai dikatakan melihat mangsa dibaham seekor buaya sebelum hilang dari permukaan air.

Berita Harian X