Rabu, 27 Julai 2016 | 6:08pm

Mahkamah tolak permohonan Pua cabar perintah larangan ke luar negara

AHLI Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua. - Foto Sairien Nafis
AHLI Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua. - Foto Sairien Nafis

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman dikemukakan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, yang mencabar perintah Ketua Pengarah Imigresen melarangnya ke luar negara.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hanipah Farikullah membuat keputusan itu selepas mendapati Pua selaku pemohon tidak mempunyai hak perlembagaan untuk ke luar negara dan larangan terhadapnya adalah sah.

Hanipah dalam penghakimannya berkata, tidak timbul isu Pua selaku pemohon mempunyai jangkaan sah, yang memberinya hak untuk ke luar negara.

Beliau berkata, kuasa Ketua Pengarah Imigresen seperti yang dinyatakan dalam garis panduan dan arahan imigresen mengikut Seksyen 3(2) Akta Imigresen adalah termasuk kuasa budi bicara untuk tidak membenarkan mana-mana individu ke luar negara.

Katanya, larangan terhadap Pua dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Imigresen yang menjalankan kuasa budi bicaranya dan bukan oleh Ketua Polis Negara.

Pada 1 Oktober tahun lalu, Pua mendapat kebenaran untuk memulakan prosiding kehakiman terhadap Ketua Pengarah Imigresen dan Kerajaan Malaysia kerana menghalangnya ke luar negara pada 22 Julai tahun lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) di Sepang.

Berikutan itu, beliau menuntut satu pengisytiharan perintah larangan itu bertentangan dengan peruntukan undang-undang, tidak sah serta terbatal.

Berita Harian X