Isnin, 8 Ogos 2016 | 7:13pm

Geng Pak Tunggal kes pecah rumah tumpas

JASIN: Polis menumpaskan Geng Pak Tunggal yang dipercayai terbabit dalam 15 kes pecah rumah dan kedai di sekitar daerah ini dan Melaka Tengah membabitkan kerugian kira-kira RM250,000 selepas menahan dua lelaki dalam serbuan di sebuah rumah di Alai, di sini, minggu lalu.

Kedua-dua suspek, termasuk ketua kumpulan itu masing-masing berusia 20 dan 28 tahun ditahan di sebuah rumah sewa di Taman Alai Indah, pada 2 Ogos lalu hasil maklumat awam.

Modus operandi kumpulan terbabit ialah memecah masuk rumah atau rumah kedai yang tidak berpenghuni.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Ruslan Hassan, berkata tangkapan dilakukan hasil maklumat awam selepas sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin menyerbu rumah disewa suspek, kira-kira jam 11 pagi.

"Dalam serbuan itu, polis menahan dua lelaki serta menemui 50 unit telefon bimbit pelbagai jenama, cermin mata (48), jam tangan pelbagai jenama (20), televisyen LED (3), motosikal (3) dan sebuah kereta PROTON Persona, dipercayai barangan samun.

"Turut ditemui sebilah pedang samurai dan peralatan pecah rumah, termasuk pemotong besi, kapak dan pemutar skru," katanya pada sidang media di IPD, di sini, sebentar tadi.

 TIMBALAN Ketua Polis Negeri, Datuk Ruslan Hassan (dua dari kiri) bersama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim (kiri) dan anggotanya menunjukkan pedang samurai, peralatan dan barang yang dirampas daripada 'Geng Pak Tunggal' yang dipercayai terbabit dalam 15 kes pecah rumah dan rumah kedai di sekitar Jasin dan Melaka Tengah membabitkan nilai kecurian dianggarkan sebanyak RM250,000 ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, Melaka.- Foto Muhammad Hatim Ab Manan

Yang turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim.

Katanya, susulan penahanan kedua-dua suspek, termasuk ketua kumpulan berusia 28 tahun itu polis percaya dapat menyelesaikan masing-masing enam dan sembilan kes pecah rumah di daerah Jasin dan Melaka Tengah, selain kes kecurian sebuah PROTON Persona dan tiga motosikal.

"Siasatan awal mendapati suspek aktif menjalankan jenayah pecah rumah sejak lima bulan lalu dan polis kini giat memburu empat lagi anggota kumpulan berkenaan yang masih bebas.

"Suspek yang ditahan turut mempunyai rekod jenayah lalu bagi kes pecah rumah dan mereka disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan, Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan curi serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memasukkan dadah ke dalam badan," katanya.

Berita Harian X