X
Isnin, 22 Ogos 2016 | 1:27pm
ANGGOTA Bomba dan orang ramai mengangkat mangsa di Batu Manikar, Labuan, pagi tadi. - Foto ihsan Bomba Labuan
ANGGOTA Bomba dan orang ramai mengangkat mangsa di Batu Manikar, Labuan, pagi tadi. - Foto ihsan Bomba Labuan

Seorang cedera, 9 selamat bot karam

LABUAN: Seorang nelayan cedera, manakala sembilan lagi selamat apabila bot dinaiki karam di perairan Batu Manikar, dekat sini, pagi tadi.

Difahamkan, dalam kejadian jam 10.30 pagi itu, semua nelayan terbabit sedang menangkap ikan sebelum bot mereka bocor dan tenggelam.

Seorang daripada mangsa dikatakan sempat menghubungi talian kecemasan ketika bot mulai karam, sebelum sembilan daripada mangsa diselamatkan bot nelayan lain jam 11.50 pagi dan dibawa ke pantai Batu Manikar.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som, berkata seorang lagi mangsa yang cedera diselamatkan oleh bot Pasukan Polis Marin (PPM) sebelum dihantar ke Hospital Labuan.

"Kita difahamkan bot terbabit bocor sebelum tenggelam. Semua mangsa ditemui 1.3 batu nautika di utara perairan Labuan. Operasi mencari dan menyelamat dilancarkan membabitkan aset APMM, PPM dan bomba sebaik menerima laporan," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Berita Harian X