Jumaat, 26 Ogos 2016 | 7:06pm

SAMM serah laporan Paya Indah Wetland kepada SPRM

Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai 'Chegubard' ketika hadir di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya untuk menyerahkan beberapa dokumen berkaitan penukaran status tanah di Lot 68054 Paya Indah Wetlands, Selangor yang dipercayai didalangi Menteri besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai 'Chegubard' ketika hadir di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Putrajaya untuk menyerahkan beberapa dokumen berkaitan penukaran status tanah di Lot 68054 Paya Indah Wetlands, Selangor yang dipercayai didalangi Menteri besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - Foto Mohd Fadli Hamzah

PUTRAJAYA: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), hari ini menyerahkan bukti kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan proksi Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dalam isu penukaran status tanah di Paya Indah Wetlands.

Penyelaras SAMM, Badrul Hisham Shaharin, berkata pihaknya sudah membentuk satu jawatan kuasa bertindak membabitkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan alam sekitar dan aktivis bagi menjalankan siasatan serta mendapatkan bukti kukuh untuk diserahkan kepada SPRM.

"SAMM berjaya menemui proksi yang sangat rapat dengan Azmin ini, yang ditempatkan dalam sebuah syarikat pemaju, melalui beberapa dokumen yang dihantar beliau termasuk kepada penjawat awam.

"Kerajaan Selangor turut melakukan penipuan melalui kenyataan EXCO Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong, apabila menafikan tidak berlaku sebarang penukaran status tanah di lot milik Paya Indah Wetlands daripada zon pertanian kepada pembangunan," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Sebelum ini, SAMM melalui satu kenyataan terbuka, mendakwa Azmin meluluskan penukaran status tanah pertanian kepada kawasan pembangunan di kawasan Paya Indah Wetlands.

SAMM turut mendakwa mempunyai bukti melalui hasil carian di Pejabat Tanah Kuala Langat sebelum ini bahawa tanah Lot 68054 seluas 619 hektar di Mukim Tanjong Dua Belas, Kuala Langat ditukar statusnya daripada kawasan hijau kepada pembangunan pada 2015.

Badrul yang juga dikenali sebagai Chegubard, berkata SAMM menerbitkan sebuah buku bertajuk Skandal Azmin Lot 68054 yang mendedahkan salah guna kuasa Azmin berkaitan isu berkenaan.

Tambah beliau, 8,000 unit dicetak dan akan diedarkan kepada orang ramai khususnya rakyat Selangor, sebagai bukti pendedahan yang dilakukan SAMM.

Ditanya mengenai isu pemecatannya dari PKR, Badrul berkata beliau sendiri tidak pasti sama ada dipecat atau tidak, namun tidak menolak kemungkinan untuk bertemu pimpinan parti bagi mendapatkan kepastian.

"Bagi saya mudah, jika sebelum ini Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, kerana bercakap benar, keadaannya juga sama dengan saya. Saya tidak pernah rasa kecewa untuk terus bercakap benar," katanya.

Berita Harian X