Rabu, 7 September 2016 | 2:15pm

Penoreh getah dipenjara setahun tipu maklumat

Zahari Ahmid, 52 (kanan) dijatuhi hukuman penjara setahun selepas di dapati bersalah membuat permohonan mykad menggunakan identiti orang lain ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Pilah. - Foto NSTP/Dzulkefeli Mustapha

KUALA PILAH: Mahkamah Majistret di sini, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara setahun terhadap seorang penoreh getah kerana memberi maklumat palsu ketika membuat permohonan kad pengenalan, 21 tahun lalu.

Majistret Farah Shuhada Ramli menjatuhkan hukuman itu terhadap Zahari, 52, yang juga warga Indonesia, selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memberi maklumat palsu ketika membuat permohonan kad pengenalan atas nama Zahari Ahmid di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Tampin, pada 6 November 1995.

Dia ditahan di rumahnya di FELDA Bukit Rokan Barat, Gemencheh, pada jam 1.15 tengah hari Sabtu lalu, mengikut Peraturan 25(1)(b) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum tiga tahun, denda antara RM3,000 hingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dijalankan Ketua Unit Pendakwaan JPN, Mohd Fazdhly Abdul Razak.

Berita Harian X