X
Jumaat, 9 September 2016 | 5:53pm

CEO Secret Recipe didenda RM45,000 naikkan harga

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (CEO) Secret Recipe Cakes and Cafe Sdn Bhd, Datuk Sim Leong Thun.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (CEO) Secret Recipe Cakes and Cafe Sdn Bhd, Datuk Sim Leong Thun.

SHAH ALAM: Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (CEO) Secret Recipe Cakes and Cafe Sdn Bhd hari ini didenda RM45,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini atas tiga kesalahan mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid mengenakan denda itu selepas Datuk Sim Leong Thun, 57, mengaku bersalah terhadap ketiga-tiga pertuduhan yang dibacakan terhadapnya atas kapasiti individu.

Sim didakwa menaikkan harga minuman jenama Pepsi di Secret Recipe Cakes and Cafe cawangan Subang Parade, Subang Jaya daripada RM4 ke RM5 bermula 23 Februari 2015 berdasarkan tanda harga yang dipamerkan.

Dia didakwa melakukan pencatutan harga kerana terdapat kenaikan margin keuntungan bersih sebanyak 24 sen iaitu daripada 77 sen kepada RM1.01 bagi setiap unit minuman berkenaan.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Sim didakwa melakukan pencatutan harga satu minuman dan satu makanan di cawangan Secret Recipe Kuala Kubu Bharu, Jalan Mat Kilau, Kuala Kubu Bharu dekat sini bermula 23 Februari 2015, berdasarkan harga yang dipamerkan di premis itu.

Dia dituduh menaikkan harga minuman Iced Caffe Latte daripada RM7.80 kepada RM9 dan didakwa melakukan pencatutan kerana berlaku peningkatan terhadap margin keuntungan bersih sebanyak 13 sen iaitu daripada RM1.76 kepada RM1.89 setiap unit.

Sim juga didakwa menaikkan harga Lasagna Beef daripada RM16.50 kepada RM19 dan didakwa melakukan pencatutan apabila margin keuntungan bersih meningkat sebanyak 28 sen iaitu daripada RM3.72 kepada RM4 seunit.

Bagi ketiga-tiga kesalahan itu, Sim dituduh mengikut Seksyen 14(1) Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 yang memperuntuk denda maksimum RM500,000 dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya didenda maksimum RM1 juta, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Sim, yang tidak diwakili peguam, memohon mahkamah mengurangkan jumlah denda atas alasan pendapatan syarikatnya menurun sedikit kebelakangan ini.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), A. Karthiyayini memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana kenaikan harga memberi impak kepada pengguna malah, syarikat itu amat terkenal di negara ini.

Sementara itu pada prosiding yang sama, mahkamah melepaskan Secret Recipe Cakes and Cafe daripada ketiga-tiga pertuduhan sama. - BERNAMA

Berita Harian X