Jumaat, 9 September 2016 | 6:59pm

3 maut dirempuh lori ketika tukar tayar

KUALA LANGAT: Tiga lelaki maut selepas dilanggar sebuah lori tiga tan ketika menukar tayar kenderaan pacuan empat roda (4WD) di Kilometer 21.9 Lebuh Raya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), di sini, hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Leong Chee Keong, 49, dan dua orang pekerja warga asing Bangladesh. Mereka mati di tempat kejadian kerana cedera parah pada anggota badan.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Zailan Tasir, berkata dalam kejadian pada jam 1 tengah hari itu, Chee Keong yang juga pemandu 4WD berkenaan sedang berdiri memerhatikan dua pekerjanya itu menukar tayar di lorong kecemasan.

"Ketika itu, pemandu lori yang datang dari KLIA menghala ke arah Taman Putra Bistari, Subang Jaya yang dipercayai hilang kawalan lalu terbabas sehingga merempuh semua mangsa," katanya kepada BH, di sini.

Zailan berkata, pemandu lori itu hanya mengalami kecederaan ringan.

"Polis menahan pemandu lori ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya dan melulu hingga menyebabkan kematian. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Banting untuk dibedah siasat.

Berita Harian X