Khamis, 22 September 2016 | 12:03pm

Penjaga kaunter rumah urut dituduh rasuah pegawai Imigresen

AYER KEROH: Seorang penjaga kaunter premis rumah urut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas tuduhan merasuah pegawai Jabatan Imigresen Melaka dengan nilai suapan RM300 bagi melindungi warga asing, bulan lalu.

Tertuduh, Tan Wei Chong, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa merasuah dengan memberi suapan wang tunai RM300 kepada Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Melaka, Kasullah Ramli, 40, sebagai dorongan kepadanya supaya tidak mengambil tindakan kerana kesalahan melanggar syarat pas lawatan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di premis rumah urut Warm Heart Beauty Theraphy di Jalan Inang 1, Taman Paya Rumput, di sini, pada jam 3.30 petang, 24 Ogos lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda atau nilai suapan atau RM10,000.

Pegawai Pendakwa Raya SPRM, Ong Cheng Hian yang melakukan pendakwaan menawarkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Ishak Kari memohon jumlah jaminan dikurangkan dengan tertuduh menanggung ibu bapa, isteri, dan dua anak dengan pendapatan RM1,500.

Norma kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 12 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Berita Harian X