Khamis, 22 September 2016 | 5:13pm

Operasi diteruskan kesan mangsa bot karam

KETUA Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Alzafny Ahmad. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
KETUA Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Alzafny Ahmad. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

KLANG: Pencarian seorang lagi mangsa yang hilang, Zorawar Singh, 20, selepas sebuah bot karam di Jeti Pelabuhan Klang, petang semalam, diteruskan jam 7 pagi ini, di kawasan yang lebih luas.

Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang terdiri daripada penyelam Polis Marin Pelabuhan Klang dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) masih cuba mengesan mangsa.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Alzafny Ahmad, berkata operasi dihentikan pada jam 8 malam semalam berikutan keadaan yang gelap menyukarkan usaha pencarian.

"Walaupun air laut pasang pada pagi ini, operasi mencari mangsa yang berasal dari India itu tetap diteruskan dan kita akan meluaskan kawasan pencarian pada hari ini tetapi masih menumpukan kawasan perairan Pelabuhan Klang.

"Berdasarkan cerita mangsa yang terselamat, bot berkenaan dikatakan terbalik kira-kira 100 meter selepas berlepas dari jeti Pelabuhan Klang dan dalam perjalanan kembali ke kapal mereka," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, di sini, hari ini.

Sementara itu, dalam kejadian jam 6.30 petang semalam, bot yang membawa lima penumpang itu terbalik dan karam dipercayai selepas terlanggar haluan sebuah kapal yang berlabuh di situ.

"Empat penumpang bot selamat kerana berjaya berenang ke kapal dan jeti manakala pemandu bot yang juga pemilik dikenal pasti sebagai Tan Bun Hiang ditemui lemas berdekatan lokasi kejadian kira-kira jam 8 malam," katanya.

Alzafny berkata, kelima-lima penumpang memiliki dokumen perjalanan sah dan adalah anak kapal dua kapal berlainan yang berlabuh di Pelabuhan Klang.

Berita Harian X