Sabtu, 1 Oktober 2016 | 7:24pm

Rogol: 2 pelajar lelaki direman 7 hari

KETUA Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan
KETUA Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

MELAKA: Dua pelajar lelaki sebuah sekolah menengah di Sungai Rambai, Jasin, dekat sini, direman tujuh hari atas dakwaan merogol seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun petang Selasa lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Kamaluddin Kassim, berkata pelajar lelaki itu berjaya ditahan, semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.

"Kami dimaklumkan yang pelajar lelaki dan perempuan itu adalah pelajar sebuah sekolah menengah di Sungai Rambai dan berkenalan antara satu sama lain.

"Kejadian dipercayai berlaku di sekolah jam 2.45 petang pada 27 September lalu," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Selasa lalu, seorang pelajar perempuan tingkatan satu dipercayai dirogol di sebuah bilik stor di sekolahnya oleh dua pelajar lelaki, masing-masing berusia 14 dan 15 tahun yang juga pelajar sekolah sama.

Difahamkan, pelajar lelaki itu bertindak menanggalkan pakaian seragam mangsa dan merogolnya, tetapi bertindak melarikan diri sebaik perbuatannya disaksikan seorang kakitangan pentadbiran sekolah.

Kamaluddin berkata, remaja perempuan yang diiringi ibu bapanya membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Rambai, jam 5.30 petang semalam, sebelum dirujuk ke Hospital Melaka, di sini.

Berita Harian X