X
Ahad, 9 Oktober 2016 | 10:43pm

Seorang lagi mangsa nahas dekat Bukit Tangga maut

KEADAAN kereta yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Seremban-Kuala Klawang di sini, petang tadi.
KEADAAN kereta yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Seremban-Kuala Klawang di sini, petang tadi.

KUALA KLAWANG: Seorang lagi mangsa kemalangan membabitkan dua kereta di Jalan Seremban-Kuala Klawang berhampiran Bukit Tangga di sini, petang tadi, meninggal dunia, malam ini.

Ketua Polis Daerah Jelebu, Deputi Superitendan Othman Basri, berkata Halimah Ludin, 64, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Jelebu di sini, jam 8.30 malam tadi.

"Wanita itu meninggal dunia dipercayai akibat kecederaan parah pada kepala dan beberapa bahagian badan.

"Mayatnya serta bayi perempuan yang maut di tempat kemalangan itu petang tadi akan dibedah siasat di hospital itu, pagi esok," katanya dalam satu kenyataan di sini, malam ini.

Dalam kejadian jam 4.45 petang tadi, Rizqi Aaliya Mohamad Hakim, berusia sembilan bulan, maut di tempat kejadian akibat kecederaan dalaman, selepas kereta dipandu bapanya berusia 28 tahun, bertembung dengan sebuah kereta lain.

Tujuh lagi mangsa yang terbabit dalam kemalangan itu termasuk ibu dan bapanya, mengalami beberapa kecederaan seperti pendarahan pada kepala dan patah tulang anggota badan.

Berita Harian X