Isnin, 10 Oktober 2016 | 10:58pm

Pesawat ringan patah gear pendaratan di LTSAAS

PENGUNJUNG membuat ujian kesihatan buah pinggang sempena Program Bantuan Red Bean di Pusat Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF). - Foto BERNAMA
PENGUNJUNG membuat ujian kesihatan buah pinggang sempena Program Bantuan Red Bean di Pusat Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia (NKF). - Foto BERNAMA

SUBANG: Sebuah pesawat ringan milik syarikat swasta terbabit dalam kemalangan kecil ketika mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di sini, petang tadi.

Kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu menyebabkan lapangan terbang itu ditutup sejam namun, tidak membabitkan kecederaan mahu pun kemalangan jiwa.

Sumber memberitahu, kejadian membabitkan sebuah pesawat ringan jenis TB20, patah gear pendaratan pada bahagian depan ketika hendak melakukan pendaratan menyebabkan pesawat itu tidak dapat mendarat dengan sempurna.

Katanya, pesawat berkenaan sebelum itu terbabit dengan latihan di lapangan terbang berkenaan dan hendak mendarat selepas tamat latihan.

"Berdasarkan siasatan awal, pesawat itu mengalami patah gear hadapan ketika mahu melakukan pendaratan.

"Berikutan kejadian, lapangan terbang terpaksa ditutup kira-kira sejam. Pasukan bomba lapangan terbang dihantar bagi membantu mengawal keadaan dan menolong pemandu serta penumpang keluar dari pesawat," katanya.

Sementara itu, Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) dalam satu kenyataan mengesahkan insiden itu.

Bagaimanapun, kejadian tidak menyebabkan gangguan pada jadual penerbangan lain.

"Landasan sudah dibersihkan dan operasi kembali pulih seperti sedia kala pada jam 5.33 petang," katanya.

Sementara itu, kejadian turut dikongsi melalui akaun Facebook, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim yang merakamkan insiden dari helikopter ketika hendak mendarat di lapangan terbang itu.

Berita Harian X