Selasa, 11 Oktober 2016 | 6:02pm

Suspek beri dadah, rogol kanak-kanak perempuan ditahan

ALOR SETAR: Polis menahan seorang lelaki berusia 24 tahun petang ini kerana disyaki merogol seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun selepas memberikan mangsa dadah.

Suspek ditahan dalam serbuan polis ke rumahnya di Flat Taman Setia Jaya, Jalan Langgar di sini, kira-kira jam 3 petang ini.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, berkata pihaknya yang melakukan risikan berjaya mengesan suspek sebelum menghantar sepasukan anggota menahannya.

"Penganggur itu kini ditahan sementara menunggu perintah reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol," katanya di sini hari ini.

Semalam, polis mendedahkan seorang kanak-kanak perempuan yang sedang menunggu keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dirogol selepas diberikan dadah oleh kenalannya yang dikenali melalui laman sosial WeChat.

Perbuatan suspek terbongkar selepas diketahui ibu kanak-kanak terbabit Sabtu lalu yang kemudian membawa anaknya ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Pemeriksaan menemui kesan koyak baharu dan lama pada kemaluan kanak-kanak terbabit, sebelum ibunya tampil membuat laporan polis.

Berita Harian X