Ahad, 16 Oktober 2016 | 7:05pm

Tiga penunggang motosikal maut di 'Litar Karak'

TIGA penunggang motosikal maut dan seorang lagi parah dalam kemalangan di Kilometer 78.9 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, kira-kira satu kilometer dari Plaza Tol Karak. - Foto Ihsan dari PDRM
TIGA penunggang motosikal maut dan seorang lagi parah dalam kemalangan di Kilometer 78.9 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, kira-kira satu kilometer dari Plaza Tol Karak. - Foto Ihsan dari PDRM

BENTONG: Tiga penunggang motosikal maut manakala seorang pembonceng cedera parah dalam kemalangan di Kilometer 78.9, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, berhampiran Plaza Tol Karak, di sini, awal pagi tadi.

Kejadian berlaku sekitar jam 1.30 pagi itu, ketika salah seorang penunggang dikenali sebagai Vijayan Rajamanikam, 20, yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dari arah Bentong ke Kuantan, dilaporkan terjatuh dan mengalami kecederaan parah pada kepala dan leher.

Susulan dari itu, dua rakannya menaiki motosikal jenis Yamaha 125Z yang berada di seberang jalan, dikenali sebagai Arvin Kannaya, 25, dan Ganesh Selvaraju, 21, segera datang untuk membantu mangsa.

Pada masa sama, seorang lagi penunggang motosikal jenis Yamaha 125Z, dikenali sebagai Muhammad Faiz Ahmad Fuzi, 19, juga dari arah sama gagal mengawal motosikal miliknya dan terus merempuh Arvin dan Ganesh yang sedang membantu VIjayan.

Ketua Penolong Pengarah Penguatkuasaan, Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Superintendan Mustafa Bakri Salleh, berkata Vijayan, Faiz dan Arvin disahkan terbunuh di tempat kejadian manakala Ganesh patah kaki kanan dan kiri.

"Setakat ini pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian ini sama ada mempunyai elemen aktiviti perlumbaan haram atau kemalangan maut.

"Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik menjalankan siasatan dari semua sudut termasuk mendapatkan maklumat dari beberapa saksi di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi BH sebentar tadi.

Berita Harian X