X
Isnin, 17 Oktober 2016 | 2:52pm

Warga Indonesia didenda RM7,000 miliki kad pengenalan palsu

Badariah Mansur (kanan) didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini kerana memiliki kad pengenalan palsu. - Foto Tuty Haryanti Ahmad Rodzi
Badariah Mansur (kanan) didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini kerana memiliki kad pengenalan palsu. - Foto Tuty Haryanti Ahmad Rodzi

SEREMBAN: Seorang wanita didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, kerana memiliki kad pengenalan palsu, minggu lalu.

Majistret Nurul Fitriza Abd Latif, menjatuhkan hukuman itu terhadap Badariah Mansur, 46, dari Sulawesi, Indonesia, yang mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati memiliki kad pengenalan palsu menggunakan nama Badariah Mansur sebagai pengenalan diri berhampiran Bank CIMB bandar Seremban, pada jam 12.30 tengah hari, 13 Oktober lalu.

Dia didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) dan boleh dihukum mengikut Peraturan sama, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Nor Imasaruzaida Mohammad Zakuan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan denda sebanyak RM7,000 dan jika gagal dibayar boleh dipenjara tujuh bulan.

Berita Harian X