Rabu, 19 Oktober 2016 | 6:42pm

Balu mangsa tikam lega suspek ditahan

Isteri mangsa, Noriah Lah, 34, tabah sambil menunjukkan gambar arwah suaminya, Muhamad Shukri Husin, 34, yang maut akibat ditetak lelaki gila bayang ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kok Keli 2, Tumpat. - Foto Muhd Faris Zainuldin
Isteri mangsa, Noriah Lah, 34, tabah sambil menunjukkan gambar arwah suaminya, Muhamad Shukri Husin, 34, yang maut akibat ditetak lelaki gila bayang ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kok Keli 2, Tumpat. - Foto Muhd Faris Zainuldin

TUMPAT: "Kami kini tidak lagi hidup dalam ketakutan selepas lelaki yang menikam arwah suami ditangkap hari ini," kata balu kepada anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang maut ditikam, Noriah Lah.

Noriah, 34. berkata sejak arwah suaminya, Mohamad Shukri Husin, 34, maut ditikam pada Ahad lalu, dia tidak lena tidur kerana suspek masih lagi belum ditangkap.

Sebaik dimaklumkan berita mengenai penangkapan suspek yang dikenali sebagai Hafiz, hari ini, Noriah mengucapkan syukur kepada Ilahi kerana doanya sudah dimakbulkan.

"Sebelum ini, saya memang tidak lena tidur kerana risau memikirkan keselamatan memandangkan suspek masih lagi bebas.

"Saya risau suspek akan datang ke sini mencari keluarga untuk mengapa-apakan kami namun syukurlah polis berjaya menangkapnya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kok Keli, di sini.

Suspek ditahan pada di tepi jalan di Kampung Petai Bubus, Manir, Terengganu, kira-kira jam 12 tengah hari tadi oleh sekumpulan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Terengganu.

Pada 16 Oktober lalu, Mohamad Shukri ditikam suspek selepas berlaku pertengkaran di kawasan tempat letak kereta di Kompleks Seri Iman, Kuala Terengganu.

Noriah yang sarat mengandung anak sulung mengharapkan agar suspek menerima hukuman yang setimpal di atas perbuatan kejam itu.

"Saya dan keluarga juga meminta agar orang ramai berhenti menyalahkan adik ipar dengan bermacam-macam tuduhan kerana dia juga tidak menginginkan kejadian ini," katanya yang kini menetap bersama ibunya Che Aini Dolah, 58, di Kampung Kok Keli.

Berita Harian X