Rabu, 26 Oktober 2016 | 4:44pm

Dipenjara 2 bulan kerana tawar khidmat seks

AYER KEROH: Seorang wanita warga Indonesia dipenjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menawarkan perkhidmatan seks bagi tujuan pelacuran di sebuah hotel, dua minggu lalu.

Majistret Norina Maludin menjatuhkan hukuman itu selepas Dewinta, 41, dari Singkawang, membuat pengakuan sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Tertuduh didakwa mencari langganan terhadap Yap Chong Kian di Hotel New Livo, kira-kira jam 11.30 malam, 13 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Azri Zakaria, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dua bulan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 14 Oktober lalu dan memerintahkannya diserah kepada Jabatan Imigresen negeri untuk tujuan pengusiran.

Berita Harian X