Ahad, 30 Oktober 2016 | 8:14pm

Lelaki didenda RM60,000 kerana miliki spesies Murai Batu

BURUNG Murai Batu yang juga spesies dilindungi mengikut Akta Pemulihan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dirampas Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor.
BURUNG Murai Batu yang juga spesies dilindungi mengikut Akta Pemulihan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dirampas Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Johor.

JOHOR BAHRU: Mahkamah Sesyen, di sini hari ini menjatuhkan hukuman denda RM60,000 terhadap seorang lelaki warga Indonesia selepas mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan memiliki 90 ekor Murai Batu iaitu spesies yang dilindungi.

Hakim Sabariah Atan turut memerintahkan Paidi Miran, 44, yang memiliki taraf kerakyatan pemastautin tetap (PR) dipenjara 18 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh dikenakan hukuman denda RM20,000 atau enam bulan penjara bagi setiap kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan pertama, dia didakwa memiliki 86 ekor burung Murai Batu (Copsychus malabaricus) tanpa lesen dalam kejadian di kawasan Sektor C, Jalan Simen 2, Pelabuhan Johor Pasir Gudang, kira-kira jam 4.30 petang, pada 23 Oktober lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 60(2) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau dipenjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki dua ekor burung Murai Batu yang tidak matang dan didakwa mengikut Seksyen 61 akta yang sama yang membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Berdasarkan pertuduhan ketiga, dia didakwa memiliki dua ekor burung Murai Batu betina, pada tarikh dan lokasi sama dan didakwa mengikut dan 62 Akta 716 yang turut membawa hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah turut menetapkan supaya sebuah Honda Civic yang digunakan dalam kejadian terbabit disita mengikut Seksyen 110 (2) Akta 716.

Pendakwaan dijalankan oleh Pegawai Pendakwa dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Shamsul Hakim Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berita Harian X