X
Isnin, 14 November 2016 | 11:07pm

4 beradik dituduh eksploitasi seksual tiga remaja wanita

EMPAT beradik dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ayer Keroh selepas didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda, jika sabit kesalahan. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber
EMPAT beradik dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Ayer Keroh selepas didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda, jika sabit kesalahan. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

AYER KEROH: Empat beradik yang juga anak kepada pegawai kanan polis didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua tuduhan memperdagangkan untuk eksploitasi seksual dan menjalankan aktiviti persundalan terhadap tiga remaja wanita di sebuah pusat peranginan, Ogos lalu.

Mohd Syibri Mazlan, 29; Muhamad Suhail, 26; Muhamad Syahiran, 25; dan Muhamad Syahfiz, 24; bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Norma Ismail.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama-sama didapati memperdagangkan tiga remaja wanita berusia 18, 19 dan 20 tahun bagi maksud eksploitasi seks di D'Village Resort Melaka, Ayer Keroh, jam 10.45 malam, pada 26 Ogos lalu.

Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, bagi pertuduhan pilihan, Mohd Syibri, Muhamad Syahiran dan Muhamad Syahfiz didakwa hidup dengan hasil persundalan ketiga-tiga remaja wanita itu di lokasi, waktu dan tarikh yang sama.

Bagi pertuduhan pilihan terhadap Muhamad Suhail pula, tertuduh didakwa bersubahat melakukan kesalahan hidup dengan hasil aktiviti sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

Mohd Syibri, Muhamad Syahiran, Muhamad Syahfiz dan Muhamad Suhail turut dituduh mengikut Seksyen 372A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Ruvinna Mohd Rawi menawarkan jaminan RM40,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin serta syarat perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.

Terdahulu, semua tertuduh yang diwakili peguam, Azrul Zulkifli Stork merayu jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan bergantung kepada pendapatan bapa yang juga penjawat awam.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM40,000 dengan seorang penjamin dan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta menetapkan 8 Disember ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Berita Harian X