Khamis, 24 November 2016 | 6:09pm

KPDNKK rampas RM13.6j barangan cetak rompak tahun ini

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KDNKK) merampas pelbagai barangan dan perisian cetak rompak bernilai RM13.6 juta menerusi 431 kes sepanjang Januari hingga Oktober lalu.

Timbalan Pengarah Penguat Kuasa KPDNKK, Othman Nawang, berkata jumlah rampasan itu membabitkan 301 kes menerusi Akta Perihal Dagangan (APD) bernilai lebih RM 2 juta, selain 129 kes mengikut Akta Hak Cipta (AHC) 1987 bernilai lebih RM6 juta serta satu kes Akta Cakra Optik (OCO) 2000 bernilai RM5.5 juta.

Bagi barangan karya berbentuk perisian palsu dalam talian, pesalah boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Hak Cipta 1987 dan jika sabit kesalahan, boleh denda minimum RM2,000 dan maksimum RM20,000 atau dikenakan penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Mereka yang didapati bersalah menjual produk tiruan boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perihal Dagangan (APD) 2011 dengan denda minimum RM4,000 sehingga maksimun RM40,000," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis kerjasama KPDNKK bersama Microsoft Malaysia dalam membanteras jualan perisian palsu dalam talian.

Othman berkata, kerjasama itu bertujuan memberi kesedaran kepada pengguna terhadap kepentingan mengenal pasti perisian dan produk palsu yang dijual di laman sesawang dalam talian.

"Kita mahu melindungi hak pengguna dan memastikan warga siber selamat daripada individu atau organisasi tidak bertanggungjawab dalam jenayah siber seperti ini," katanya.

Lapan perniagaan runcit secara dalam talian E-Dagang iaitu Lazada, 11Street, Lelong.my. Mudah.my, eBay, Easymall.my, Carousell dan LogOn turut menjalinkan kerjasama membanteras penjualan produk palsu.

Sementara itu, Pengurus Besar Saluran Pengguna Kumpulan Microsoft Malaysia, Bruce Howe, berkata inisiatif itu dibuat bagi membantu pengguna memahami risiko pembelian produk tiruan dan melindungi mereka daripada jenayah siber.

"Sokongan KPDNKK amat diperlukan untuk penguatkuasaan undang-undang bagi memastikan usaha ini tidak sia-sia," katanya.

Berita Harian X