Isnin, 19 Disember 2016 | 4:39pm

Koperal ambil rasuah dipenjara sehari, denda RM20,000

AYER KEROH: Seorang anggota polis berpangkat koperal dihukum penjara sehari dan denda RM20,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah menerima rasuah berjumlah RM4,000, Januari lalu.

Hakim Mohd Nasir Nordin memerintahkan Ariffin Md Sharip, 45, menjalani hukuman penjara tambahan enam bulan, jika gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, Ariffin didakwa memperoleh suapan wang tunai RM4,000 daripada Johaidi Muhamad sebagai dorongan tidak mengambil tindakan ke atas dua kereta PROTON Persona dan Wira serta sebuah motosikal Honda Wave walaupun mengesyaki Johaidi memiliki kenderaan itu secara tidak sah di Balai Polis Tengkera, kira-kira jam 6 petang, pada 21 Januari lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohammed Heikal Ismail yang melakukan pendakwaan memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam bela Haslinda Abu Bakar yang mewakili tertuduh merayu hukuman ringan dikenakan dengan alasan anak guamnya mempunyai tanggungan seorang isteri dan empat anak, selain ibunya berusia 60 tahun yang menghidap penyakit jantung.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara sehari dan denda RM20,000. Tertuduh kemudian membayar denda berkenaan.

Berita Harian X