Rabu, 21 Disember 2016 | 12:29pm

Buruh didenda RM10,000, penjara sehari rasuah polis

TAN Wee Kuang dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di Ayer Keroh, hari ini selepas mengaku bersalah memberi rasuah sebanyak RM370 kepada pegawai polis, Ogos lalu. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan
TAN Wee Kuang dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di Ayer Keroh, hari ini selepas mengaku bersalah memberi rasuah sebanyak RM370 kepada pegawai polis, Ogos lalu. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

AYER KEROH: Seorang buruh dijatuhi hukuman penjara sehari dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah memberi rasuah sebanyak RM370 kepada pegawai polis, Ogos lalu.

Tan Wee Kuang, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Nasir Nordin.

Tertuduh didakwa memberi rasuah kepada seorang inspektor polis yang bertugas di Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di tingkat dua sebuah premis di Taman Semabok Perdana, jam 7.15 malam, pada 23 Ogos lalu.

Perbuatan itu sebagai dorongan supaya inspektor berkenaan tidak mengambil tindakan ke atas tertuduh kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa SPRM, Ong Cheng Hian yang melakukan pendakwaan memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman rendah dan penjara minimum dikenakan dengan alasan perlu menanggung seorang adik yang sakit.

Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara sehari dan denda RM10,000 jika gagal bayar, enam bulan penjara.

Tertuduh membayar denda berkenaan.

Berita Harian X