Jumaat, 30 Disember 2016 | 5:33pm

Sorok 109 tenggiling dalam guni

 KOMANDER Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) Kedah, Abdul Latif Abdul Rahman (kanan) bersama anggotanya memeriksa sebahagian 109 ekor tenggiling bernilai RM196,200 yang dirampas di sebuah rumah di Kampung Kubang Airang, Titi Kerbau Changlun. Str/Zuliaty Zulkifli
KOMANDER Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) Kedah, Abdul Latif Abdul Rahman (kanan) bersama anggotanya memeriksa sebahagian 109 ekor tenggiling bernilai RM196,200 yang dirampas di sebuah rumah di Kampung Kubang Airang, Titi Kerbau Changlun. Str/Zuliaty Zulkifli

BUKIT KAYU HITAM: Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) merampas 109 ekor tenggiling yang disorok dalam guni di sebuah rumah di Kampung Kubang Airang, Titi Kerbau, di sini, hari ini.

Komander AKSEM Kedah, Abdul Latif Abdul Rahman, berkata pihaknya menerima laporan dan membuat pemeriksaan di sebuah rumah pada jam 12 tengah hari sebelum menemui berpuluh guni di bawah sebuah khemah.

Katanya, pemeriksaan mendapati guni terbabit berisi 109 ekor tenggiling pelbagai saiz, yang keseluruhannya seberat 65 kilogram (kg).

"Kita merampas semua tenggiling terbabit dan menahan lelaki warga tempatan berusia 49 tahun untuk membantu siasatan.

"Semua tenggiling terbabit diperoleh dari kawasan utara, dipercayai akan diseludup ke negara jiran berikutan permintaan tinggi terhadap haiwan eksotik itu sebagai sumber makanan," katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, sebentar tadi.

Abdul Latif berkata, keseluruhan rampasan berjumlah RM196,200 dan kes disiasat mengikut Seksyen 68 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

"Semua tenggiling yang dirampas diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan lanjut," katanya.

Berita Harian X