Khamis, 5 Januari 2017 | 2:34pm

Operator kilang berdepan tiga lagi pertuduhan berkaitan pengganas

 SEORANG operator kilang dihadapkan di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas tiga pertuduhan termasuk menerima arahan daripada ahli kumpulan pengganas Daesh, tahun lalu. - Foto Lzlaily Nurul Ain Hussein
SEORANG operator kilang dihadapkan di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas tiga pertuduhan termasuk menerima arahan daripada ahli kumpulan pengganas Daesh, tahun lalu. - Foto Lzlaily Nurul Ain Hussein

JOHOR BAHRU: Seorang operator kilang dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tiga pertuduhan, termasuk menerima arahan daripada ahli kumpulan pengganas Daesh, tahun lalu.

Mohammad Firdaus Abdullah, 27, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Noor Aisyah Ahmad.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa menerima arahan daripada seorang ahli kumpulan pengganas Daesh, Muhammad Fudhail Omar, 25, menerusi aplikasi media sosial Telegram atas nama 'Jengking Malaya' untuk melakukan perbuatan pengganas di Jalan Padu, Kawasan Perindustrian Tampoi, Larkin, antara jam 3.38 hingga 3.50 pagi pada 26 Mac tahun lalu.

Dia didakwa mengikut Sub Seksyen 130FA(b) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dikenakan penjara maksimum sehingga 30 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memiliki 89 video dan sembilan keping imej berkaitan Daesh serta 34 video mengenai Al Qaeda dalam sebuah cakera keras dan 64 gambar tentang Daesh dan dua gambar berkaitan Al Qaeda dalam sebuah telefon bimbit yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Padi Murni, Taman Muafakat Utama, Larkin, pada jam 6.50 petang, 4 Ogos tahun lalu.

Bagi pertuduhan kedua itu, dia didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan akta sama yang boleh dikenakan maksimum tujuh tahun penjara atau denda dan boleh dilucutkan hak mana-mana item terbabit, jika sabit kesalahan.

Sementara itu mengikut seksyen sama, dia turut didakwa memiliki lapan keping imej dalam sebuah telefon bimbit yang mempunyai kaitan dengan kumpulan Daesh di sebuah rumah di Taman Suria Muafakat Utama, Larkin, antara jam 7.15 hingga 8.25 malam pada 4 Ogos tahun lalu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Unit Jenayah Berat Mohd Izhanudin Alias, manakala tertuduh diwakili Iskandar Shah Ibrahim yang hadir bagi pihak peguam Rosli Ismail.

Pada 1 September lalu, dia turut didakwa di mahkamah sama atas empat pertuduhan membabitkan kumpulan pengganas, termasuk memberi sokongan kepada kumpulan Daesh dan letupan bom di sebuah kelab malam di Puchong, Selangor antara 26 Mac dan 4 Ogos tahun lalu.

Berita Harian X