Jumaat, 6 Januari 2017 | 4:24pm

3 suspek pengedar dadah ditahan

TIMBALAN Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Abdul Hamid Mohd Ali menunjukkan pelbagai jenis dadah yang dirampas dalam serbuan ke atas sebuah pangsapuri di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, semalam, pada sidang media di kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA
TIMBALAN Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Abdul Hamid Mohd Ali menunjukkan pelbagai jenis dadah yang dirampas dalam serbuan ke atas sebuah pangsapuri di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, semalam, pada sidang media di kuala Lumpur, hari ini. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Polis Kuala Lumpur menahan tiga suspek termasuk pasangan tunang yang dipercayai pengedar dadah ke sekitar kawasan Sentul dan Selayang, dalam serbuan ke atas sebuah pangsapuri di Jalan Sultan Ismail, di sini, semalam.

Dalam serbuan jam 9.45 pagi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Dang Wangi itu, polis turut merampas pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM182,790 dipercayai diperoleh dari negara jiran.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Abdul Hamid Mohd Ali, berkata pasangan tunang terbabit berusia 24 dan 34 tahun ditahan ketika berada dalam kediaman berkenaan.

"Semasa serbuan dibuat, sebanyak 3,000 biji pil eramin five, dua plastik syabu seberat 368 gram, dua paket heroin seberat 6 gram,satu paket ketamin seberat 4 gram dan lapan biji pil kuda ditemui.

"Susulan itu, polis kemudian memeriksa sebuah kereta Proton Satria dan menemui 57 ketulan mampat disyaki ganja seberat lebih 55 kilogram," katanya pada sidang media di sini, pagi tadi.

Beliau berkata hasil soal siasat ke atas pasangan itu, pihaknya kemudian menahan seorang lagi lelaki berusia 33 tahun yang mempunyai enam rekod lampau kes dadah pada jam 9.30 malam hari yang sama selain menyita wang tunai berjumlah RM30,156.

"Semua mereka kini direman mengikut Seksyen 39B, Akta Dadah Berbahaya, 1952 dan jika disabit kesalahan boleh dihukum gantung," katanya.

Berita Harian X