Isnin, 23 Januari 2017 | 4:52pm

Bot karam dipercayai dari Batam - Polis

KETUA Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Cyril Edward Nuing. - Foto Zul Ikhwan Muhammad
KETUA Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Cyril Edward Nuing. - Foto Zul Ikhwan Muhammad

MERSING: Bot pancung yang membawa 40 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia sebelum karam di perairan Tanjung Rhu, dekat sini pagi tadi dipercayai dari Batam. 

Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Superintendan Cyril Edward Nuing, berkata maklumat awal itu diperoleh polis hasil soal siasat terhadap dua mangsa yang terselamat dalam kejadian berkenaan.

Katanya, mereka yang terselamat itu dikenali sebagai Zainal Abidin, 28, dan seorang wanita dikenali sebagai Helmy, 20, dari Surabaya. 

"Berdasarkan keterangan yang diberikan oleh mereka, bot berkenaan membawa 40 PATI dan bertolak dari Batam kira-kira jam 8 malam tadi. 

"Bot itu dipercayai karam akibat dipukul ombak ketika tiba di perairan Tanjung Rhu, kira-kira jam 4.30 pagi dan dipercayai ada di antara mereka yang selamat dan melarikan diri ke kawasan hutan berhampiran," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini. 

Cyril Edward berkata, kedua-dua mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Tenggaroh 2, di sini untuk rawatan perubatan. 

"Polis juga tidak menemui sebarang dokumen terhadap sembilan mayat yang ditemui terdampar di pantai kira-kira jam 9 pagi tadi. 

"Kita percaya ada mangsa yang terselamat, namun dipercayai sudah melarikan diri," katanya. 

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan 77 anggota dari polis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Tentera Darat Malaysia. 

"Ketika ini, SAR di laut ditangguhkan sementara berikutan hujan lebat dan ketinggian ombak mencecah 2.5 hingga 3 meter," katanya.

Berita Harian X