Selasa, 31 Januari 2017 | 3:04pm

Laluan Simpang Pulai-Cameron Highlands selamat digunakan

Datuk Zainol Fadzi Paharudin (kanan) dan Abu Bakar Mohd Said melawat kawasan hakisan cerun di Kilometer 44 Jalan Simpang Pulai - Cameron Highlands. - Foto NSTP/Abdullah Yusof
Datuk Zainol Fadzi Paharudin (kanan) dan Abu Bakar Mohd Said melawat kawasan hakisan cerun di Kilometer 44 Jalan Simpang Pulai - Cameron Highlands. - Foto NSTP/Abdullah Yusof

IPOH: Laluan di Kilometer 44 Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands, dekat sini selamat digunakan untuk semua jenis kenderaan walaupun terdapat kesan tanah runtuh yang membimbangkan banyak pihak. 

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin, berkata laporan Cawangan Kejuruteraan Cerun mengesahkan laluan berkenaan masih selamat untuk digunakan.

"Sejak dari kejadian tanah runtuh tahun lalu sehingga ke hari ini, jalan ini masih selamat digunakan walaupun keadaannya nampak seperti membimbangkan. 

"Realitinya, jalan ini masih boleh digunakan dan jika ada rekahan atau tanah runtuh, struktur ini sebenarnya tidak terjejas," katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi berkenaan, di sini, hari ini. 

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Abu Bakar Mohd Said.   

Zainol Fadzi berkata, ramai pengguna jalan raya masih mengambil gambar kesan runtuhan tanah di situ dan memuat naik gambar itu dalam media sosial. 

Beliau berkata, struktur binaan jalan di situ berbeza dengan jalan raya lain.

"Strukturnya dibina seolah-olah seperti satu jambatan dengan pembinaan cerucuk besi pada 425 jajarannya bagi membolehkan sebarang pergerakan tanah di laluan itu dipantau 24 jam dan tindakan lanjut akan diambil.

"Sehingga hari ini, keadaan struktur jalan langsung tidak terjejas atau terdapat retakan membabitkan gegaran walaupun ketika musim hujan. 

"Malah, di bawah laluan ini terdapat batu konkrit pada jarak lima meter ke dalam tanah selain tiang konkrit yang menyokong asas jalan," katanya. 

Beliau berkata, JKR juga akan mengambil tindakan susulan seperti menanam semula rumput di kawasan tanah runtuh terbabit bagi mengukuhkan struktur tanah.

Berita Harian X