Selasa, 31 Januari 2017 | 5:10pm

Polis cari lima suspek kes bunuh di kelab malam

KETUA Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy pada sidang media di Kuala Lumpur, pagi tadi. - Foto Supian Ahmad
KETUA Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy pada sidang media di Kuala Lumpur, pagi tadi. - Foto Supian Ahmad

KUALA LUMPUR: Polis memburu lima lelaki dipercayai terbabit dalam kes bunuh seorang lelaki berusia 22 tahun dalam sebuah kelab malam di Solaris, Bukit Kiara, di sini, Sabtu lalu.

Kelima-lima suspek berkenaan berusia antara 21 tahun dan 25 tahun dikenal pasti melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis hiburan berkenaan serta berdasarkan maklumat saksi kejadian.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy, berkata lima suspek yang diburu itu antaranya adalah suspek utama dikenali sebagai Dhivyaprabu Panir Selvam.

Suspek utama berasal dari Taman Kantan Permai, Kajang dan dipercayai menikam mangsa Muhammad Jefri Abu Bakar, hingga menyebabkan kematian.

"Sebelum ini, pihak polis sudah mengesan Dhivyaprabu di kawasan Kajang, namun dia gagal ditemui dipercayai menghilangkan diri selepas kejadian," katanya pada sidang media, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian 4 pagi itu, mangsa dikatakan terlanggar bahu seorang suspek yang berada di meja bersebelahan dalam premis berkenaan sebelum berlaku pergaduhan.

Kejadian turut mengakibatkan dua lagi rakan mangsa mengalami kecederaan.

Sebelum ini, lapan individu dipercayai daripada kumpulan yang mencederakan mangsa dan rakannya sudah ditahan.

Dalam perkembangan lain, Polis Sentul juga sedang mengesan Satesh Rengasamy, 27, yang dipercayai terbabit dalam satu kes pembunuhan seorang warga India di Kondominium Putra Majestic, Jalan Kasipillay, Sentul, 19 Januari lalu.

Munusamy berkata, setakat ini, polis sudah menahan empat rakan suspek berusia 27 tahun hingga 39 tahun dan kes berkenaan dipercayai bermotifkan hutang sebanyak RM300,000.

Siasatan kedua-dua kes berkenaan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Berita Harian X