Jumaat, 3 Februari 2017 | 6:21pm

Pelajar maut motosikal dirempuh treler

KEADAAN lori treler yang terbabas di Sungai Kepar, Bagan Serai . - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
KEADAAN lori treler yang terbabas di Sungai Kepar, Bagan Serai . - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

BAGAN SERAI: Seorang pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bagan Serai di sini, maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh treler yang terbabas di Sungai Kepar di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 1.15 tengah hari itu, I Sasitaran, 17, meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketika kejadian, mangsa yang datang dari arah Bagan Serai menghala ke Taiping dikatakan tercampak ke seberang parit di situ selepas dirempuh treler berkenaan.

Treler terbabit dipercayai mengalami masalah tayar menyebabkan kenderaan berat itu terbabas ke laluan bertentangan lalu merempuh mangsa yang melalui laluan itu.

Difahamkan, kejadian itu turut menyebabkan pemandu treler terbabit mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Taiping.

Ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali mengesahkan ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari rumahnya di sini ke Simpang Empat, Selinsing untuk memotong rambut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan lanjut masih dijalankan.

Berita Harian X