Khamis, 9 Februari 2017 | 2:51pm

Pembantu kedai dipenjara 6 bulan

AYER KEROH: Seorang pembantu kedai dihukum penjara enam bulan dan denda RM100,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas kesalahan meminta suapan pada awal Februari lalu.

Hakim Mohd Nasir Nordin menjatuhkan hukuman itu terhadap Nooraszlina Ismail, 36, selepas tertuduh mengaku bersalah.

Berdasarkan pendakwaan, tertuduh didakwa secara rasuah meminta Mohd Rafi Md Hasin suapan wang tunai sebanyak RM20,000 sebagai dorongan untuk menolong menyelesaikan kes Anuar Abdullah yang dikatakan mempunyai kes berkaitan rasuah.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh di Kampung Lendu Dalam, Alor Gajah, Melaka, pada jam 8.15 malam, pada 3 Februari lalu.

Bagi perbuatan itu dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohammed Heikal Ismail memohon hukuman setimpal dikenakan kepada tertuduh.

NOORASZLINA (tengah) diiringi anggota SPRM ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, atas tuduhan meminta suapan bernilai RM20,000 pada 3 Februari lalu. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan
NOORASZLINA (tengah) diiringi anggota SPRM ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, atas tuduhan meminta suapan bernilai RM20,000 pada 3 Februari lalu. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu supaya hukuman ke atasnya ditangguhkan kerana perlu menyelesaikan urusan keluarga serta tidak mempunyai sumber kewangan selain perlu menanggung lima anak.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan dan didenda RM100,000, gagal bayar tambahan enam bulan penjara.

Berita Harian X