Khamis, 16 Februari 2017 | 12:38pm

Penolong jurutera didakwa rasuah

PENOLONG Jurutera Awam, Jabatan Kerja Raya (JKR), Ishak Ismail, 56, diiringi anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar atas kesalahan menerima rasuah diatas lima pertuduhan pada tahun lepas. - Foto Sharul Hafiz Zam
PENOLONG Jurutera Awam, Jabatan Kerja Raya (JKR), Ishak Ismail, 56, diiringi anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Alor Setar atas kesalahan menerima rasuah diatas lima pertuduhan pada tahun lepas. - Foto Sharul Hafiz Zam

ALOR SETAR: Seorang penolong jurutera awam Jabatan Kerja Raya (JKR) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, atas lima pertuduhan meminta dan menerima suapan membabitkan jumlah RM105,000, Ogos lalu.

Ishak Ismail, 56, mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibaca secara berasingan di hadapan Hakim Tuan Zulhazmi Abdullah.

Bagi tuduhan pertama dan kedua, Ishak didakwa meminta rasuah sebanyak RM55,000 dan RM20,000 daripada Nor Azman Hashim atau dikenali sebagai Adam.

Ia sebagai dorongan bagi tertuduh selaku Penolong Jurutera Awam J36 (KUP) yang bertugas di JKR Kuala Muda/Sik (Cawangan Sik) menyokong dan memastikan Jawatankuasa Sebutharga Bil. 47, 48, 49 dan 52/2016, bermesyuarat pada 2 Ogos lalu, memutuskan empat perkara.

Bagi pertuduhan ketiga pula, Ishak dituduh menerima suapan sebanyak RM75,000 daripada Adam bagi menyokong dan memastikan Jawatankuasa Sebutharga Bil. 47, 48, 49 dan 52/2016 untuk memutuskan empat perkara berkenaan.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di No 67, Batu 14, Simpang Tiga, Sungai Daun Yan, Yan, dekat sini, pada jam 4.45 petang, 9 Ogos lalu.

Bagi pertuduhan keempat, Ishak didakwa meminta suapan RM30,000 melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada nombor telefon peribadinya ke talian nombor milik Adam yang ketika itu berada di hadapan SP Plaza di Jalan Ibrahim, Sungai Petani, dekat sini, pada jam 6.55 petang, 14 Ogos lalu.

Suapan diminta sebagai dorongan tertuduh menyokong dan memastikan Jawatankuasa Sebutharga yang akan bermesyuarat pada 21 Ogos lalu memutuskan supaya kerja penyelenggaraan dan pembaikan kecil cerun di Jalan Negeri di Kampung Balong Ayam/Cepir di Sik diberikan kepada ZNZ Warisan Enterprise.

Bagi pertuduhan kelima, Ishak dituduh menerima suapan RM30,000 daripada Adam di rumahnya di No 67, Batu 14, Simpang Tiga, Sungai Daun Yan, pada jam 4.45 petang 18 Ogos lalu.

Bagi semua pertuduhan itu, Ishak didakwa mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan bagi setiap kesalahan.

Prosiding kes dijalankan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, A Hafiizh Abu Bakar dan tertuduh diwakili peguam Ram Karpal.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 28 Mac untuk sebutan semula kes.

Berita Harian X