Rabu, 22 Februari 2017 | 3:48pm

Polis siasat penyebaran video Jong-nam

TIMBALAN Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed menyampaikan ucapan pada Majlis Penyerahan Tugas Yang Dipertua Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) yang ke-6 sempena Mesyuarat Majlis Anti Dadah PEMADAM Kebangsaan di Kuala Lumpur.- Foto Aizuddin Saad
TIMBALAN Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed menyampaikan ucapan pada Majlis Penyerahan Tugas Yang Dipertua Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) yang ke-6 sempena Mesyuarat Majlis Anti Dadah PEMADAM Kebangsaan di Kuala Lumpur.- Foto Aizuddin Saad

KUALA LUMPUR: Polis diarahkan melakukan siasatan ke atas Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB) berhubung penyebaran video rakaman pembunuhan abang Presiden Korea Utara, Kim Jong Nam, oleh media asing baru-baru ini.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, berkata sebarang pengawasan dan kawalan keselamatan di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA2) adalah di bawah pengurusan dan tanggungjawab Malaysia Airport Holdings Bhd (MAHB).

"Saya menegaskan bahawa PDRM tidak terbabit dalam penyebaran video terbabit kerana pengurusan KLIA2 adalah di bawah MAHB.

"Pihak polis akan menyiasat siapa yang edar rakaman litar tertutup (CCTV) berkenaan kerana yang menguruskan lapangan terbang adalah MAHB dan polis bantuan," katanya pada sidang media dalam Majlis serah tugas Yang Dipertua Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) hari ini.

Mengenai laporan menyatakan anak sulung Kim Jong-nam, Kim Han-sol, hadir menyerahkan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) dan mengecam jasad bapanya di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur (HKL), semalam, Nur Jazlan berkata:

"Selepas pihak polis mengenal pasti punca dan sebab kematian barulah kita maklumkan kepada semua pihak yang terbabit dalam kes ini termasuk Kementerian Luar, INTERPOL serta mana-mana negara yang terbabit."

Jong-nam meninggal dunia pada 13 Februari lalu selepas diserang di aras pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2).

Berita Harian X