Rabu, 1 March 2017 | 12:47pm

Dua bekas pegawai FELDA dituduh pecah amanah

BEKAS Timbalan Pengarah Besar (Sumber Strategik) FELDA, Muhammad Sufi Mahbub didakwa di Mahkamah Sesyen Jalan Duta atas pertuduhan pecah amanah jenayah ke atas dana FELDA membabitkan jumlah sebanyak RM47.6 juta, tiga tahun lalu. - Foto Saddam Yusoff

KUALA LUMPUR: Dua bekas pegawai kanan FELDA hari ini dituduh di Mahkamah Sesyen masing-masing kerana pecah amanah wang agensi itu berjumlah RM47.6 juta dan bersubahat, tiga tahun lalu.

Mereka ialah Bekas Pengarah Besar FELDA, Datuk Faizoull Ahmad, 57 dan bekas Timbalan Pengarah Besar (Sumber Strategik) FELDA, Muhammad Sufi Mahbub, 53.

Bagaimanapun, mereka tidak mengaku bersalah apabila tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Allaudeen Ismail.

Muhammad Sufi didakwa sebagai Timbalan Pengarah Besar (Sumber Strategik) telah diamanahkan dengan penguasaan ke atas dana FELDA melakukan pecah amanah jenayah ke atas dana itu iaitu dengan curangnya melupuskan wang itu dengan memasuki perjanjian Technology Transfer and Supply Agreement dan Design-Build Contract Agreement dengan 12C Hassed (M) Sdn Bhd melalui FELDA Caviartive Sdn Bhd.

Dia kemudian meluluskan pembayaran masing-masing RM25,999,000 dan RM21, 625, 500 tanpa kelulusan Lembaga Pengarah FELDA atau Jawatankuasa Tender FELDA.

BEKAS Pengarah Besar FELDA, Datuk Faizoull Ahmad didakwa di Mahkamah Sesyen Jalan Duta atas pertuduhan pecah amanah jenayah ke atas dana FELDA membabitkan jumlah sebanyak RM47.6 juta, tiga tahun lalu. - Foto Saddam Yusoff

Faizoull pula didakwa bersubahat melakukan perbuatan itu di tempat dan masa yang sama.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Bangunan Wisma FELDA, Jalan Perumahan Gurner, di sini, antara 13 Januari 2014 hingga 23 Julai 2014.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat dan boleh didenda.

Mahkamah membenarkan jaminan RM1 juta bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib manakala Mohd Irwan Mohd Mubarak dan Azad Bashir masing-masing bertindak sebagai peguam Muhammad Sufi dan Faizoull.

Berita Harian X