Selasa, 21 March 2017 | 4:12pm

Penjaga pusat hiburan maki polis didenda RM1,500

gn4id:19611155

AYER KEROH: Seorang penjaga pusat hiburan didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah menghalang dan mengeluarkan kata kesat terhadap pegawai polis dalam satu pemeriksaan, pada Februari lalu.

Tertuduh, Tan Gun Jun, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norina Maludin.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa sengaja menghalang tugas Inspektor Firdaus Syafiq daripada menjalankan pemeriksaan terhadapnya.

Tertuduh juga didapati mengasari pegawai polis berkenaan dengan menolak badannya serta mengeluarkan kata-kata kesat, di lokasi pemeriksaan, jam 11.30 malam, pada 9 Februari lalu.

Kesalahan tertuduh itu boleh didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan memperuntukkan penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000.

Terdahulu, peguam Tiu Leong Kim yang mewakili tertuduh merayu mahkamah meringankan hukuman atas alasan tertuduh sudah insaf dan hanya berlaku perselisihan faham kecil.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Azri Zakaria, memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran tertuduh menjaga perilaku.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Norina mengenakan denda RM1,500 terhadap tertuduh, dan dua bulan penjara jika gagal bayar. Bagaimanapun, tertuduh membayar denda berkenaan.

Berita Harian X