Selasa, 28 March 2017 | 3:48pm

Senapang patah RELA dijual cecah RM3,000

KETUA Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff (dua dari kiri) bersama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Datuk Nashir Ya (tengah) menunjukkan senapang patah dan peluru milik RELA yang berjaya dirampas dalam sidang media di IPK Jalan Stadium. - Foto Sharul Hafiz Zam
KETUA Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff (dua dari kiri) bersama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Datuk Nashir Ya (tengah) menunjukkan senapang patah dan peluru milik RELA yang berjaya dirampas dalam sidang media di IPK Jalan Stadium. - Foto Sharul Hafiz Zam

ALOR SETAR: Pegawai yang menjadi dalang utama kehilangan 26 senapang patah milik Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) daerah Selama, Perak disyaki sudah lama menjalankan kegiatan itu sebelum ia terbongkar akhir bulan lalu.

Ketua Polis Kedah, Datuk Asri Yusoff, berkata suspek berusia 55 tahun yang kini bertugas di Pengkalan Hulu di Perak, dikatakan menjual senapang patah berkenaan pada harga antara RM1,000 hingga RM3,000 setiap satu dengan pembeli dalam kalangan kenalan rapat.

Katanya 26 senapang patah yang disedari hilang pada 23 Februari lalu susulan audit dilakukan Bahagian Pelesenan Bukit Aman di Pusat Latihan RELA Wilayah Utara di Bukit Selambau di Sungai Petani itu, adalah antara 300 yang dibekalkan kepada RELA daerah Selama, Perak.

"Hasil pemeriksaan polis menahan suspek utama yang juga bekas Pegawai RELA Selama pada 18 Mac lalu dan hasil soal siasat dijalankan pegawai berkenaan mengaku menjual 26 laras senjata kepada ahli RELA dan orang awam di Perak.

"Kita syaki dia sudah lama buat kerja ketika dia bertugas di Selama, isu timbul apabila adanya serahan tugas kepada pegawai baharu, namun suspek utama gagal menyerahkan senarai senjata api terbabit, " katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini sebentar tadi.

Katanya, pihaknya juga menahan 11 ahli RELA dan masing-masing seorang tentera serta orang awam semuanya berusia antara 29 hingga 56 tahun di sekitar Taiping, Gerik, Selama dan Kerian di Perak.

Sehubungan itu, katanya, 13 senapang patah jenis Remington & Ricchardson, selaras senapang buatan sendiri dan lebih 300 peluru tabur 12 bore dirampas.

"Semua suspek kini masih ditahan reman bagi membantu siasatan dan kita sedang menyiasat menyiasat tujuan pemilikan senapang itu kerana tiga daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kes curi kenderaan, mencuri dan judi.

"Justeru, kita minta mereka yang membeli senapang patah berkenaan tampil menyerahkan senjata api itu di balai polis berdekatan berikutan memiliki senjata api tanpa lesen adalah kesalahan besar," katanya.

Semua suspek disiasat mengikut Seksyen 7(2) dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.

Berita Harian X