Rabu, 29 March 2017 | 1:08pm

Sarjan wanita hadapi 3 tuduhan rasuah

 

AYER KEROH: Seorang polis wanita berpangkat sarjan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tiga tuduhan rasuah berjumlah RM18,500, dua minggu lalu.

Rasyidah Onn, 27, yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa cuba memperoleh suapan RM6,500 diikuti pertuduhan kedua, bersetuju menerima suapan RM6,000 dan pertuduhan ketiga, memperoleh suapan RM6,000 daripada individu sama iaitu Ahmad Firdaose Ramlan.

Perbuatan itu sebagai dorongan tidak mengambil tindakan ke atas adik Ahmad Firdaose, Ahmad Zainal Ramlan bersama tiga lagi rakan lain kerana memiliki air ketum.

Pertuduhan pertama dan kedua didakwa dilakukan melalui panggilan telefon di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka, pada jam 11.13 pagi dan 2.27 petang, 16 Mac lalu, manakala pertuduhan ketiga di Pizza Hut Delivery, KM15-1, Tingkat Bawah, Jalan Perniagaan Jelatang 1, Alor Gajah, pada jam 4.35 petang hari yang sama.

Semua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama, memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan dan menetapkan 27 April ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa SPRM Ong Cheng Hian, manakala tertuduh diwakili peguam James S Thanjong Tuan.

 

SEORANG anggota polis wanita berpangkat sarjan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas tuduhan menerima rasuah, hari ini. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan
SEORANG anggota polis wanita berpangkat sarjan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh atas tuduhan menerima rasuah, hari ini. - Foto Muhammad Hatim Ab Manan

Berita Harian X