Sabtu, 1 April 2017 | 6:39pm

Tunang askar lemas dihanyutkan kepala air

MAYAT Amiera Dayana dibawa oleh penduduk kampung selepas lemas ketika mandi di kawasan Air Terjun Lata Payung, Sungai Tong. - Foto ihsan pembaca
MAYAT Amiera Dayana dibawa oleh penduduk kampung selepas lemas ketika mandi di kawasan Air Terjun Lata Payung, Sungai Tong. - Foto ihsan pembaca

PERMAISURI: Seorang gadis yang mandi bersama tunangnya di kawasan air terjun Lata Payung, Sungai Tong, di sini, petang tadi, ditemui lemas selepas dihanyutkan kepala air.

Mangsa Amiera Dayana Harun, 22, dari Kampung Bukit Nenas, Sungai Tong, dikatakan ke kawasan perkelahan itu bersama tunangnya, Asraff Rifaie Maliki, 25, yang juga seorang anggota tentera.

Pasangan terbabit dikatakan mandi di kawasan itu kira-kira jam 2.30 petang sebelum dihanyutkan kepala air.

Asraff Rifaie berjaya menyelamatkan diri tetapi gagal menarik tunangnya daripada dihanyutkan arus deras.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Setiu, Penolong Penguasa Bomba Mohd Anuar Mamat, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada jam 2.43 petang sebelum dua jentera bersama tujuh anggota bergegas ke lokasi kejadian.

"Selain bomba, operasi sama turut dibantu polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan penduduk kampung.

"Mayat berjaya ditemui kira-kira jam 4.34 petang oleh tunangnya dengan bantuan penduduk kampung sebelum dihantar ke Hospital Daerah Setiu," katanya.

Berita Harian X