Isnin, 3 April 2017 | 4:16pm

Wanita maut kereta bertembung lori

ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa kemalangan kereta dengan sebuah lori di Jalan Ipoh Butterworth, berhampiran Sungai Rawa. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
ANGGOTA bomba mengeluarkan mangsa kemalangan kereta dengan sebuah lori di Jalan Ipoh Butterworth, berhampiran Sungai Rawa. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

PARIT BUNTAR: Seorang wanita maut selepas kereta dipandu bertembung dengan sebuah lori di Jalan Ipoh-Butterworth, berhampiran Sungai Rawa di sini, pagi tadi.

Mangsa dikenal pasti sebagai Nur Fatin Mohd Narzeri, 25, dari Bagan Tiang, Tanjung Piandang, dekat sini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Parit Buntar, Muhammad Nor Amin Abd Mubin berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 9.41 pagi.

Katanya, anggota yang tiba di lokasi mendapati seorang wanita tersepit di bahagian tempat duduk pemandu kereta jenis Perodua MyVi yang terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori.

"Anggota segera menjalankan kerja mengeluarkan mangsa yang terperangkap di bahagian pemandu dengan menggunakan kit keselamatan khas.

"Sejurus berjaya dikeluarkan, mangsa yang disahkan meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat pada jam 10.18 pagi," katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, sumber polis mengesahkan kejadian dan identiti mangsa berkenaan.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat dan kes masih dalam siasatan polis," katanya.

Berita Harian X