Selasa, 4 April 2017 | 11:56am

Pegawai PERHILITAN dituduh rasuah RM10,000

A'ZMAN Othman dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Seremban, hari ini bagi enam pertuduhan rasuah berjumlah RM10,000. - Foto Iqmal Haqim Rosman
A'ZMAN Othman dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Seremban, hari ini bagi enam pertuduhan rasuah berjumlah RM10,000. - Foto Iqmal Haqim Rosman

SEREMBAN: Seorang Pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini bagi enam pertuduhan rasuah berjumlah RM10,000.

Tertuduh A'zman Othman, 46, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Fathiyah Idris.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memperoleh suapan melalui enam transaksi pemindahan wang secara dalam talian daripada akaun sebuah syarikat yang melakukan perkhidmatan mencuci dan membersih bangunan Pejabat PERHILITAN Paya Indah Wetlands Jabatan Perhilitan, Dengkil, Selangor.

Suapan itu bertujuan melancarkan proses kelulusan tuntutan bayaran bulanan bagi perkhidmatan syarikat terbabit.

Kesalahan itu dilakukan di Maybank cawangan Rahang, Jalan Tuanku Antah di sini, antara 15 April sehingga 19 Oktober 2015.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) Akta yang sama yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau minimum RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurdiyanah Mohd Nawawi, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Baharuddin Ahmad Kassim.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dan menetapkan 5 Mei ini untuk sebutan semula kes.

Berita Harian X