Rabu, 5 April 2017 | 12:14pm

2 geng mamak ditembak mati

Antara senjata dan pistol yang dirampas dari suspek dipercayai Geng Mamak. - Foto BERNAMA
Antara senjata dan pistol yang dirampas dari suspek dipercayai Geng Mamak. - Foto BERNAMA

IPOH: Dua suspek dipercayai Geng Mamak yang aktif melakukan pelbagai jenayah terancang di beberapa negeri sejak lima tahun lalu, membabitkan kerugian RM1.9 juta ditembak mati polis di Tanah Hitam, Chemor di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 9.30 malam, dua suspek berusia antara 30 hingga 50 tahun dikenali sebagai Misai dan Ganesh ditembak mati selepas dipercayai cuba merempuh kereta polis sebelum cubaan menyerang dan berbalas tembakan dengan polis.

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan berkata, ketika kejadian, sepasukan pegawai dan anggota polis Bahagian Jenayah Berat (D9) Bukit Aman yang menjalankan rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan terserempak dengan sebuah kereta Toyota Vios dinaiki kedua suspek dalam keadaan mencurigakan.

 

Katanya, polis cuba menahan kereta berkenaan namun kereta itu memecut laju melalui Jalan Tanjung Rambutan-Tanah Hitam hingga sampai ke satu selekoh sebelum polis berjaya memintas untuk menahan kereta terbabit.

"Kereta itu cuba melanggar kereta polis namun terbabas dan sebaik polis menghampiri kenderaan terbabit, pemandu kereta itu melepaskan empat das tembakan manakala penumpangnya melibas parang ke arah sepasukan polis.

"Polis bertindak membalas tembakan berkenaan sebagai usaha untuk mempertahankan diri hingga tiada ancaman daripada kedua suspek, " katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri di sini, hari ini.

Hasnan berkata, hasil pemeriksaan dalam kereta berkenaan mendapati kedua-dua suspek terbunuh namun tiada pengenalan diri ditemui.

"Polis turut merampas kereta digunakan kedua suspek, sepucuk pistol jenis Revolver .38 Special, dua peluru hidup dan kelongsong peluru serta empat bilah parang, sebilah kapak dan kuku kambing.

"Hasil siasatan mendapati kedua suspek aktif melakukan sebanyak 28 kes jenayah kejam dan terancang termasuk samun, pecah rumah dan curi kenderaan mewah di beberapa negeri termasuk Pulau Pinang, Melaka dan Selangor," katanya.

 

Berita Harian X