Khamis, 6 April 2017 | 12:41pm

Pengusaha kebun bunga, buruh didakwa beri rasuah

Pengusaha Kebun Bunga Kekwa, Chan Kok Fong, 40 (dua dari kanan) dan Buruh Ladang, Law Hee Thiam, 38 (dua dari kiri) didakwa di Mahkamah Sesyen atas tuduhan memberikan dan menawarkan rasuah berjumlah RM38,000 kepada penguatkuasa bagi melindungi kegiatan haram mereka pada 2015 di Hutan Simpan Ringlet, Cameron Higlands. - Foto NSTP/Muhd Asyraf Sawal
Pengusaha Kebun Bunga Kekwa, Chan Kok Fong, 40 (dua dari kanan) dan Buruh Ladang, Law Hee Thiam, 38 (dua dari kiri) didakwa di Mahkamah Sesyen atas tuduhan memberikan dan menawarkan rasuah berjumlah RM38,000 kepada penguatkuasa bagi melindungi kegiatan haram mereka pada 2015 di Hutan Simpan Ringlet, Cameron Higlands. - Foto NSTP/Muhd Asyraf Sawal

KUANTAN: Seorang pengusaha kebun bunga kekwa dan buruh didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini kerana memberi dan menawar rasuah RM38,000 kepada penguat kuasa pada tahun 2015.

Chan Kok Fong, 40, dan Law Hee Thiam, 38, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Habibah Mohamed Yusof.

Hee Thiam yang bekerja sebagai buruh ladang didakwa memberi rasuah RM15,000 kepada seorang pegawai Majlis Keselamatan Negara (MKN), Sanifah Yusof sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadap kebun diusahakannya secara haram dan tanpa permit di Hutan Simpan Gunung Siku, Cameron Highlands.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Coffee House Hotel Heritage, Cameron Highlands pada jam 8 malam, 19 Mei 2015.

Kok Fong yang mengusahakan kebun bunga kekwa pula berdepan tiga tuduhan iaitu dua pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM23,000 dan menawarkan rasuah RM1,000 sebagai bayaran bulanan kepada Sanifah pada sekitar April serta Mei 2015.

Bagi dua tuduhan memberikan rasuah, tertuduh didakwa memberi RM20,000 kepada Sanifah pada 8 April 2015 dan RM3,000 pada 12 Mei 2015 sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan pembersihan terhadap kebun yang diusahakannya tanpa permit di Hutan Simpan Ringlet, Cameron Higlands.

Kok Fong turut didakwa menawarkan rasuah RM1,000 kepada Sanifah sebagai bayaran bulanan untuk tidak mengambil tindakan pembersihan di kebunnya itu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Coffee House Hotel Heritage, Cameron Highlands.

Bagi kesemua pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Jika disabitkan kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Amer Abu Bakar Abdullah manakala Kok Fong diwakili Simon Evanson dan Hee Thiam tidak diwakili peguam.

Habibah menetapkan ikat jamin RM5,000 untuk Hee Thiam dan RM10,000 bagi Kok Fong manakala tarikh sebutan semula kes pada 5 Mei ini.

Berita Harian X